Tuesday, September 28, 2010

Kaedah Mahir Matematik!

Terdapat banyak faedah untuk memahirkan diri kita dengan matematik. Individu yang berlainan mempunyai kaedah yang berlainan untuk memahirkan diri dengan subjek matematik.

Kaedah main sambil belajar.

 
     Aktiviti ini dijalankan secara spontan untuk faedah perbuatan itu sendiri. Ini bermakna kaedah tersebut memberi kepuasan dalam keadaan sedar atau tidak. Terdapat unsur-unsur kespontanan, kurang berstruktur, tiada paksaan, dan menimbulkan kepuasan. Sebagai contoh kanak-kanak bermain batu sermban, mereka bukan sahaja seronok tetapi juga dapat membina  ketelusan dalam mengira mata yang diperolehi.
 
     Tujuan kaedah bermain sambil belajar adalah untuk mendatangkan keseronokan dan hiburan di samping merangsang individu mempelajari sesuatu dengan cara yang aktif dalam keadan yang tidak formal. Kaedah ini membantu perkembangan fizikal, sosio-emosi dan mental  di mana mereka juga dapat meningkatkan kekekuatan dan ketangkasan, dapat berinteraksi juga mempelajari nilai – nilai sosial yang positif seperti bertolak-ansur, bertimbang – rasa dan lain-lain lagi. Kesan keseronokan daripada bermain dapat mempercepatkan lagi proses pembelajaran di mana maklum balas yang di beri serta merta tentang betul atau salah akan mengukuhkan lagi pembentukan satu-satu konsep.

     Di dalam melaksanakan aktiviti permainan, ia harus berkaitan dengan objektif pembelajaran. Permaianan tersebut mesti sesuai dengan umur, pengalaman, kebolehan serta kecenderungan murid-murid. Arahan tentang permainan mestilah jelas, tepat dan mudah difahami. Kaedah ini harus melibatkan senua murid sekiranya dijalankan di dalam kelas. Maklum balas tentang betul atau salah dalam sesutu permainan hendaklah di beri dengan serta merta agar murid-murid bermotivasi untuk meningkatkan lagi motivasi mereka. Tempoh permainan tidak boleh pendek dan tidak boleh terlalu panjang. Ia seharusnya mengambil masa yang sederhana dan sesuai. Permainan harus melibatkan aspek psikomotor, kognitif dan efektif. Ia harus menekankan nilai kerjasama, keadilan, keseronokan dan kemahiran sosial. Permainan dijalankan dalam bentuk yang boleh menarik minat murid-murid dan merupakan satu bentuk pengajaran bukan sebagai pengganti guru.
 

Membentuk minat murid dalam matematik!

Orang yang mudah menguasai matematik biasanya seorang yang kreatif. Mereka berupaya menyelesaikan matematik yang susah dan mengelirukan berdasarkan pengetahuan dan kreativiti mereka. Boleh dikatakan matematik ialah satu seni yang diterbitkan daripada kreativiti, imaginasi seseorang hinggalah ia berkembang menjadi satu ilmu yang sangat berguna kepada manusia hingga ke zaman moden ini.     

Betapa pentingnya matematik itu boleh kita lihat dalam kehidupan seharian kita. Kita guna matematik untuk membuat keputusan dan banyak perkara. Contohnya dalam membuat belanjawan. Kita akan memerlukan kemahiran dalam kira-kira asas matematik iaitu operasi tambah, tolak, darab dan bahagi. Kita perlu mengira berapa banyak wang yang kita akan keluarkan dengan menggunakan operasi tolak dan mengunakan operasi tambah bagi memasukkan pendapatan baru dalam belanjawan kita.

Peringkat Penguasaan Matematik
 

Peringkat Kanak-kanak
    Kanak-kanak berumur empat hingga enam tahun merupakan masa yang paling untuk merangsang perkembangan otak mereka. Pada peringkat ini kanak-kanak mudah menerima apa yang diajar kepada mereka. Mereka juga suka kepada benda-benda baru. Di sini ibu bapa perlu memainkan peranan mendedahkan kanak-kanak tadi dengan sistem penomboran. Ibu bapa perlu mengajar kanak-kanak dengan asas matematik yang berkaitan dengan nombor-nombor asas. Kita perlu ajar mereka dengan nombor-nombor satu hingga sepuluh. Suruh mereka sebut dan hafal nombor-nombor tersebut.
 
Peringkat Kanak-kanak Remaja
    Pada usia tujuh hingga dua belas tahun kanak-kanak perlu diajar dengan operasi asas matematik seperti tambah, tolak, darab dan bahagi. Pada peringkat ini, kanak-kanak berada dalam alam persekolahan. Di sekolah, mereka diajar dengan pelbagai teknik pembelajaran, pelbagai operasi matematik dan terma-terma matematik . Mereka juga didedahkan dengan pecahan, peratus, statistik dan pelbagai operasi lain yang selalu diaplikasikan dalam kehidupan seharian kita.

Peringkat Remaja
    Pada usia tiga belas sehingga tujuh belas tahun, pelajar sudah berada dalam alam persekolahan menengah. Pada ketika ini, pelajar akan mempelajari matematik algebra dan matematik diskrit di mana ianya lebih susah sedikit. Pada masa ini, pelajar-pelajar dianggap sudah dapat menguasai matematik secara luas selepas tamat zaman persekolahan.


Peringkat Umum

    Peringkat ini ialah daripada umur lapan belas sehingga ke atas. Tahap ini merupakantahap di mana seseorang diharap mempunyai penguasaan yang kuat dalam matematik algebra dan matematik diskrit serta berjaya menguasai matematik secara keseluruhannya.